Jemaah-jemaah bertanya sebabnya gereja membeli sebuah menara loceng. Adakah ini cara terbaik untuk menggunakan sumber Tuhan? Mengapa tidak menggunakan duit itu untuk membantu orang miskin? Pastor menjawab bahawa beberapa orang penderma telah menyumbang dana itu, maka perlu dibelanjakan mengikut kehendak mereka. “Lagipun,” katanya sambil memetik kata-kata Yesus, “orang miskin sentiasa ada di sekitarmu” (Yohanes 12:8).
Pastor itu segera memohon maaf atas kata-kata sambil lewa yang diucapkannya di luar konteks, dan ini membuatkan saya tertanya-tanya: Apakah situasi Yesus ketika Dia berkata demikian? Enam hari sebelum kematian-Nya, seorang wanita mengurapi kaki Yesus dengan minyak wangi yang mahal. Para murid berasa jijik. Mengapa minyak wangi ini tidak dijual dan wangnya disedekahkan kepada orang miskin? Yesus menjawab dengan memetik Ulangan 15:11: “Orang miskin sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu” (Yohanes 12:8).
Yesus sering memetik kitab Ulangan, jadi Dia tahu apa yang tertulis beberapa ayat sebelumnya: “Meskipun begitu, tidak akan ada fakir miskin dalam kalangan engkau kerana TUHAN pasti memberkati engkau di negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu … asalkan engkau sungguh-sungguh mematuhi TUHAN, Allahmu” (Ulangan 15:4-5). Mungkin ini juga sebabnya Yesus menegur pengikut-Nya. Orang miskin wujud hanya kerana bangsa Israel tidak mentaati perintah Tuhan. Manakala Yesus ialah orang Israel sejati yang mentaati Tuhan sepenuhnya sejak permulaan hingga akhir. Kini orang miskin pula digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada-Nya.
Kita tidak perlu memilih antara Yesus dan orang miskin. Kita mengasihi sesama manusia dengan terbaik apabila kita mengasihi Yesus melebihi segalanya, dan kasih kepada-Nya akan menginspirasikan kita untuk mengasihi orang lain dengan lebih mendalam.