Perkataan Tahun 2023 menurut Kamus Merriam-Webster ialah authentic (tulen/asli). Ia bermaksud “bukan palsu atau tiruan” dan “benar kepada keperibadian, semangat, atau karakter sendiri.” Manusia mencari kebenaran, tetapi ini boleh menjadi satu cabaran untuk membezakan fakta daripada rekaan. Editor Peter Sokolowski berkata, “Bolehkah kita percaya sama ada seorang pelajar menulis kertas kerja ini [atau] … betulkah ahli politik yang mengeluarkan penyataan ini? Kita tidak lagi mempercayai apa yang kita lihat. Kadangkala kita tidak percaya akan mata atau telinga kita sendiri. Kini kita menyedari bahawa keaslian itu sendiri mungkin sahaja satu bentuk ilusi.”
Apabila kita kabur terhadap apa yang benar, keaslian menjadi sesuatu yang sangat didambakan oleh kebanyakan orang. “Krisis keaslian” ini boleh dielakkan apabila kita menerima dan mengikut hikmat daripada firman Tuhan. Yesus bercakap kepada para murid-Nya sejurus sebelum Dia ditangkap, diadili, dan disalibkan (Yohanes 13–17). Ketika mempersiapkan mereka untuk pemergian-Nya dari dunia, Dia juga “menengadah ke langit” lalu berdoa untuk mereka (17:1). Dia berdoa agar Bapa akan “Sucikanlah mereka dengan kebenaran-Mu; firman-Mu adalah kebenaran” (ayat 17). Ini menunjukkan bahawa Tuhan menyatakan kebenaran dalam Alkitab bukan menurut standard lain, kerana Alkitab sendiri itu ialah kebenaran, dan standard mutlak untuk menghakimi segala sesuatu.
Tuhan memanggil kita menjajarkan kehidupan kita dengan firman Tuhan dan hidup mengikut kebenaran-Nya. Hanya dengan cara itu kita dapat menjadi benar-benar asli, sesuatu yang amat diperlukan di dunia pada masa ini.