Dalam satu perjalanan jauh bersama keluarga, saya menghabiskan masa berjam-jam memandu melalui negeri Montana dan South Dakota yang jarang penduduk. Ketika memandu, saya mula menyedari satu corak: Kawasan ladang yang luas dipenuhi dengan rimbunan pokok-pokok yang mengelilingi sebuah rumah. Semasa saya berusaha untuk mengawal van kami supaya kekal di lorong kami kerana angin yang kencang, saya mula sedar bahawa keberadaan pokok-pokok di situ bukan sahaja ditanam untuk keindahan. Pokok-pokok tersebut juga ditanam sebagai penghadang angin untuk melindungi rumah dan penghuninya daripada tiupan angin kencang yang melanda kawasan tersebut.
Nabi Yesaya pernah menggambarkan masa depan yang ada pemeliharaan Tuhan bagaikan tempat perlindungan daripada angin ribut dan badai. Setelah memanggil umat Tuhan agar mereka bertaubat (Yesaya 31:6-7), Yesaya juga menulis tentang masa depan apabila “seorang raja akan bertakhta dalam perbenaran” (32:1) dan semua yang memerintah bersama-Nya akan menjadi “tempat berteduh terhadap angin dan tempat persembunyian terhadap angin ribut” (ayat 2). Hasil daripada berkat ini ialah orang dapat melihat, mendengar, memahami, dan menyampaikan kebenaran (ayat 3-4) dalam keadaan yang aman dan selamat.
Sementara kita masih menantikan janji ini digenapi sepenuhnya, kita sudah melihat Tuhan bekerja melalui mereka yang aktif menjaga kepentingan orang lain (Filipi 2:3-4). Roh Kristus menolong kita membina ruang yang selamat supaya orang lain boleh membangun, walaupun pada masa yang sukar. Inilah satu cara yang nyata untuk mencerminkan kasih dan penjagaan Tuhan.