Satu konvensyen jururawat sedang berlangsung di sebuah hotel, tiba-tiba seorang tetamu mengalami serangan jantung di lobi. Dengan serta-merta, lebih daripada dua puluh orang jururawat datang ke sisinya dan berusaha untuk menyelamatkan nyawanya. Tetamu itu amat berterima kasih kepada semua jururawat yang telah berada dalam situasi yang tepat pada tempat dan masanya.

Ester juga berada dalam situasi yang tepat pada tempat dan masanya. Dia telah dipilih menjadi ratu setelah mendapat perkenanan dan restu raja (Ester 2:17). Namun, satu perintah telah mengancam bangsanya, orang Yahudi. Oleh itu, sepupunya Mordekhai menggalakkannya untuk menggunakan kedudukannya agar merayu kepada raja, supaya bangsa mereka diselamatkan daripada hukuman mati yang tidak dapat dielakkan. “Siapa tahu, mungkin untuk saat seperti inilah engkau telah mencapai kedudukan diraja dalam kerajaan itu”, Mordekhai mencabar Ester (4:14). Keputusan Ester untuk mempertaruhkan nyawanya dan “menghadap raja” (ayat 16) untuk mendedahkan rancangan jahat itu telah menyelamatkan orang Yahudi daripada dihapuskan (Ester 8). Jelaslah bahawa Ratu Ester sedar bahawa Tuhan telah menempatkan dia pada kedudukan tersebut tepat pada masanya.

Kadangkala, kita mungkin tertanya-tanya mengapa sesuatu situasi berlaku atau mengapa keadaan hidup kita berubah. Mungkin kita kecewa dan cuba mengembalikan keadaan “seperti sediakala”. Tuhan mungkin telah meletakkan kita dalam situasi sekarang untuk satu tujuan khusus. Hari ini, apabila kita menghadapi gangguan atau perubahan yang mengacau kelancaran rutin atau rancangan, marilah kita meminta Tuhan menunjukkan kepada kita jika ada sesuatu yang istimewa yang ingin dilakukan-Nya melalui kita sebagai sebahagian rancangan-Nya yang sempurna.