Dalam sebuah persembahan pentas Pilgrim: The Musical (Pengembara: Muzikal) yang menyentuh hati, Leisa berdiri di satu sudut khas untuk golongan pekak. Dia menggunakan Bahasa Isyarat Amerika untuk menyampaikan makna dan emosi persembahan itu dengan penuh perasaan. Muzikal tersebut, yang diadaptasikan daripada buku The Pilgrim’s Progress (Perjalanan Seorang Musafir) ialah karya John Bunyan tentang perjalanan iman seorang lelaki yang sangat mengharukan, begitu juga dengan penyampaian bahasa isyarat oleh Leisa.

Apabila ditanya tentang tugasnya sebagai juru bahasa dalam bahasa isyarat, Leisa berkata, “Saya menyertai Pilgrim dan menjadi juru bahasanya kerana Injil seharusnya dapat diakses oleh semua orang, dan golongan pekak adalah kumpulan yang [lazimnya] diabaikan.” Dia menambah, “Hal ini sangat menyedihkan kerana sangat sedikit golongan pekak di seluruh dunia pernah mendengar tentang Yesus.” Leisa menggunakan kurnianya supaya golongan pekak dapat mengenali Yesus.

Seperti Leisa, kita juga dipanggil untuk menggunakan kurnia dan kebolehan kita untuk menjadi saksi bagi kasih Tuhan dan membawa orang lain kepada Yesus—memberi pengaruh positif kepada dunia dengan berita baik. Rasul Petrus menulis, “Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah. Sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, gunakanlah kurnia itu untuk kebaikan semua” (1 Petrus 4:10). Kurnia ini termasuklah mengasihi dan berdoa untuk orang lain (ayat 7-8). Sama ada anda seorang pendorong, pembantu yang bekerja di belakang tabir, seorang guru, penceramah, pendoa, atau mempunyai kurnia dan kebolehan lain, Tuhan boleh menggunakan anda untuk melayani orang lain. Mintalah kepada-Nya. Dia akan menunjukkan jalannya.