Pada tahun 304 Masihi, maharaja Rom Maximian memasuki kota Nicomedia dengan kemenangan. Perarakan diadakan dan seluruh kota berkumpul untuk berterima kasih kepada dewa-dewa atas kemenangan tersebut—semua orang kecuali sebuah gereja yang penuh dengan orang yang menyembah satu-satunya Tuhan yang benar. Maximian memasuki gereja itu dengan satu amaran keras terakhir: Tinggalkan iman kamu kepada Kristus, atau dihukum. Mereka menolak. Kesemuanya terbunuh apabila Maximian mengarahkan gereja itu dibakar, termasuk orang-orang yang percaya kepada Yesus yang masih berada di dalamnya.

Rasul Paulus memahami pengorbanannya yang harus ditanggung untuk mengikut Kristus. Dalam 1 Korintus 4, dia menegur orang Kristian yang tinggal di kota Korintus di Yunani dengan kesaksiannya. Paulus menyatakan bahawa para rasul telah menderita kerana Yesus dan demi mereka sendiri. Mereka telah “menjadi tontonan bagi dunia” (ayat 9, TB) ketika mereka melayani Kristus.

Demikian juga rasul Petrus mengingatkan kita bagaimana Yesus menderita bagi kita. Rasul Petrus menulis, “Apabila [Yesus] dicela, Dia tidak mencela kembali. Apabila Dia menderita, Dia tidak mengugut, tetapi menyerahkan diri-Nya kepada Allah yang menghakimi dengan adil” (1 Petrus 2:23).

Sehingga hari ini, orang yang percaya kepada Yesus masih menderita kerana iman mereka. Seperti orang Kristian di Nicomedia yang rela menderita demi Injil, semoga segala tentangan yang kita hadapi dapat menunjukkan kekuatan iman kita dalam Kristus. Kita boleh menyerahkan hidup kita kepada Dia “yang menghakimi dengan adil.”