Saya dan keluarga saya membawa ayah pulang dari hospital. Dia menghidapi penyakit degeneratif (penyakit yang menyebabkan kesihatan beransur-ansur semakin merosot), dan kami sedang menyesuaikan diri dengan rutin 24 jam baharunya kerana dia tidak lagi berdaya dan memerlukan tiub pemakanan. Saya juga harus merancang pembedahan gastrik ibu saya dan berurusan dengan pelanggan yang sukar di tempat kerja. Disebabkan segala tekanan tinggi ini, saya mencari ruang persendirian di dalam bilik mandi dan berseru kepada Tuhan: Tolonglah aku, ya Bapa. Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi setiap hari.
Daud juga berasa tertekan dengan banyak masalah (Mazmur 55:2-5). Setelah diserang oleh anak lelakinya Absalom, dikhianati oleh sahabat karib, dan berasa tidak berdaya untuk menghadapi segala keganasan yang melanda Yerusalem, Daud berkata, “Aku tertekan oleh ketakutan” (ayat 5).
Tetapi Daud memilih untuk mempercayai Tuhan (ayat 23). Dia percaya bahawa “[Tuhan] tidak akan membiarkan orang yang benar dikalahkan” (ayat 22). Bertahun-tahun mempercayai Yang Maha Kuasa telah mengajar Daud bahawa walaupun masalah boleh menggoncangkan kita, orang yang meletakkan kepercayaan kepada Tuhan tidak akan hilang arah dan putus asa. “Dia tidak akan rebah, kerana TUHAN menyokongnya dengan tangan-Nya” (37:24). Daud tahu bahawa Tuhan akan menyokongnya dengan kekuatan dan hikmat-Nya: “Aku akan berseru kepada Allah, dan TUHAN akan menyelamatkan aku” (55:16).
Empat belas tahun kemudian, kami masih menjaga ayah di rumah. Tahun-tahun tersebut telah mengajar saya bahawa apabila kita menyerahkan beban kita kepada-Nya, Dia akan menolong kita (ayat 22). Tuhan bukan sahaja memikul beban kita, Dia juga memikul kita dengan tangan-Nya yang kuat.