Suatu hari pada tahun 1863, ketika Edwin sedang berdiri di atas platform kereta api di Bandar Jersey, Amerika Syarikat, dia ternampak seorang lelaki diasak-asak oleh para penumpang. Akibatnya, lelaki itu terjatuh ke dalam celah antara kereta api dan platform. Keretapi mula bergerak. Dengan segera Edwin mencapai dan menarik lelaki itu ke tempat yang selamat tepat pada masanya sebelum terlambat.

Lelaki yang diselamatkan itu ialah Robert Todd Lincoln, anak lelaki kepada Presiden Abraham Lincoln. Robert kemudian menulis bahawa “wajah penyelamat saya sudah tentu saya sangat kenal,” kerana Edwin Booth ialah seorang pelakon terkenal. Malah, dia adalah abang kepada seorang lagi pelakon—John Wilkes Booth—yang membunuh Presiden Lincoln dua tahun kemudian.

Keanehan sejarah ini menggambarkan satu kenyataan kepada kita. Kita tidak dapat memilih untuk lahir di keluarga mana. Mungkin adik-beradik atau ibu bapa kita membuat pilihan yang salah. Mungkin kita sendiri yang telah menyebabkan segalanya menjadi kucar-kacir. Namun, Alkitab menceritakan tentang rancangan keluarga Tuhan: “Orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah” (Roma 8:14). Sebagai anak-anak-Nya, “kita waris-waris Allah” (ayat 17). Yang menakjubkan, kita diundang untuk memanggil-Nya “Abba, Bapa” (ayat 15).

Kita mungkin sudah lama bergelut dengan ketidaksempurnaan keluarga kita di bumi. Namun, kita boleh mendapat penghiburan kerana Tuhan telah mengubah warisan rohani kita. Dia menerima kita sebagai anak dalam keluarga-Nya, dan perkara paling berharga—Dia memberi kita keistimewaan untuk memanggil-Nya Bapa kita.