Bencana kebakaran hutan paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat ialah Kebakaran Hutan Peshtigo di Timur Laut Wisconsin. Kebakaran tersebut berlaku pada malam yang sama dengan Kebakaran Chicago yang lebih terkenal (8 Oktober 1871), tetapi telah meragut beberapa ratus lagi nyawa. Peshtigo, sebuah bandar yang sedang berkembang pesat dengan bangunan-bangunan kayu dan sebahagian daripada industri kayu balak, telah musnah dalam masa sejam akibat kebakaran yang disemarakkan oleh angin kencang.

Selain daripada barangan porselin yang hangus dan sebuah tanur bata, antara beberapa barang yang terselamat daripada kebakaran itu ialah sebuah Alkitab kecil yang terbuka. Kulit Alkitab itu terbakar dan akibat haba yang melampau, halamannya menjadi keras, namun tidak musnah sepenuhnya. Sehingga hari ini, Alkitab itu dipamerkan di sebuah muzium di bandar itu.

Pemeliharaan terhadap Alkitab kecil ini mengingatkan kita akan jaminan yang diberikan Tuhan kepada umat-Nya pada masa yang sukar: “Rumput layu dan bunga luruh, tetapi firman Allah kita kekal selama-lamanya” (Yesaya 40:8). Walaupun ancaman daripada serangan dan pembuangan melanda bangsa Israel bagaikan “badai api”, Tuhan menegaskan bahawa Dia akan setia pada janji-Nya dan tidak akan meninggalkan mereka yang berpaling kepada-Nya—apa jua yang berlaku.

Alkitab yang ada di Muzium Peshtigo, yang sebahagian kandungannya masih dapat dibaca, terbuka pada Mazmur 106 dan 107. Kedua-dua mazmur ini mengandungi ayat pertama yang berbunyi: “Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana kebaikan-Nya; kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.” Walaupun kita sedang menghadapi ujian terbesar dalam hidup, firman dan kasih Tuhan tidak pernah goyah. Oleh itu, kita mahu bersyukur kepada-Nya selama-lamanya.