Selama bertahun-tahun, saya telah memberi dorongan dan mendoakan ramai orang yang berjuang melawan rasa kesunyian kerana pelbagai sebab: penghuni di rumah jagaan yang tidak dikunjungi oleh ahli keluarga, balu yang menghabiskan masa di luar rumah supaya tidak berasa sunyi di dalam rumah yang kosong, pemimpin dalam pelayanan yang tiada tempat untuk berkongsi isi hati, dan gelandangan yang berasa terabai dan sendirian.

Kesunyian boleh menyerang sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Pada Mei 2023, Ketua Pakar Bedah Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran kepada orang ramai tentang ‘wabak kesunyian’. Kira-kira separuh daripada orang dewasa di AS berkata bahawa mereka pernah mengalami kesunyian—yang boleh membawa maut seperti menghisap dua belas kotak rokok setiap hari.

Apabila Musa bersedia untuk menyerahkan kepemimpinan kepada penggantinya, Yosua, dia ingin memastikan bahawa orang Israel tahu mereka tidak akan berperang sendirian ketika memasuki tanah yang dijanjikan. “Jangan takut dan jangan gementar dengan mereka, kerana TUHAN, Allahmu, menyertai kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dan tidak akan meninggalkan kamu” (Ulangan 31:6). Dia juga mengingatkan pemimpin baru mereka, Yosua, bahawa “TUHAN sendiri akan memimpin kamu, dan Dia pulalah yang akan menyertai kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dan tidak akan meninggalkan kamu” (ayat 8).

Seterusnya Musa mengakhiri dengan kata-kata berserta nasihat yang boleh memberi semangat kepada kita hari ini: “Jangan takut dan jangan kecut hati” (ayat 8).

Apabila kita menghadapi kesunyian, marilah kita kuatkan hati dengan keyakinan bahawa Tuhan sentiasa ada bersama kita.