Selepas ribut petir melanda bandar kami pada penghujung musim panas, kami terpaksa melakukan pembersihan besar-besaran di halaman rumah kami yang berselerakan dengan daun dan ranting pokok, serta menangani kemusnahan yang disebabkan oleh pokok tumbang. Semasa saya menghabiskan hari berikutnya untuk membaiki kerosakan dan membersihkan serpihan pokok, saya cuba menghiburkan diri dengan berkata berulang kali: “Mujurnya kami tidak ada pokok!” Memang benar. Selain daripada tiga batang pokok tirus kecil setinggi hampir 1 meter, kami tidak mempunyai pokok. Namun, saya masih menghabiskan banyak masa untuk membersihkan daun-daun yang berguguran, yang datangnya dari pokok-pokok jiran kami.

Jiran (atau sesama manusia). Bagaimanakah kita berinteraksi dengan mereka—biarpun kadangkala apa yang dilakukan, ditanam, atau dikatakan oleh jirankita telah menimbulkan kesulitan bagi kita? Alkitab memberi kita ajaran yang jelas tentang perkara ini, dan sembilan kali menyatakan “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri” dalam Imamat 19:18, Matius 19:19, Markus 12:31, Galatia 5:14 dan Yakobus 2:8. Sebenarnya, ini ialah perintah kedua terbesar yang diberikan Tuhan kepada kita. Perintah pertama ialah “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu … jiwamu … kekuatanmu dan … fikiranmu” (Lukas 10:27). Salah satu kunci untuk menunjukkan kasih kepada jiran adalah cara kita berinteraksi dengan mereka. Yakobus menjelaskannya dengan mengatakan, “Cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah” (Yakobus 1:19).

Untuk mempraktikkan prinsip ini bukan selalunya mudah. Ia bertentangan dengan sifat semula jadi kita. Namun, mengasihi jiran kita sepatutnya menjadi respons pertama kita. Dengan pertolongan Tuhan, mari kita pancarkan cahaya kasih Yesus kepada mereka yang berkongsi kehidupan dengan kita—sesama kita.