Bilik hotel Tim kelihatan lebih gelap pada waktu malam. Bagaimana jika dia bangun tengah malam dan jatuh tergelincir disebabkan tidak dapat melihat? Tetapi apabila Tim memang bangun, dia terkejut melihat cahaya terang yang bersinar dari bawah katil sehingga menerangi laluannya. Sebuah sensor gerak telah mengaktifkannya. Cahaya itu hanya akan menyala jika dia bangun dan mula berjalan.
Alkitab mengatakan kita harus setia mengikut Tuhan dalam cahaya-Nya. Seperti Paulus berkata kepada orang Kristian baru di Efesus, “Ikutlah teladan Allah … hiduplah dalam kasih” (Efesus 5:1-2). Tetapi, bagaimana sebenarnya hidup secara praktikal dalam cara begitu?
Ketika kita melangkah dalam cahaya kasih Kristus, kita akan berpaling daripada dosa-dosa kita—yang mungkin termasuk kelakuan buruk, kekotoran, penyembahan berhala, dan kerakusan. “Jangan bersubahat dengan perbuatan gelap yang tidak berfaedah,” kata Paulus, “sebaliknya dedahkan perbuatan itu” (ayat 11). Penyembahan berhala berkembang pesat di Efesus, tetapi kata-kata rasul itu mengarahkan orang-orang percaya baru menuju ke jalan yang benar. “Kerana dahulu kamu gelap tetapi sekarang sudah menjadi cahaya dalam Tuhan. Hiduplah sebagai anak-anak cahaya” (ayat 8). Dia menambah, “kerana yang dihasilkan oleh cahaya terdapat dalam segala yang baik, wajar dan benar.” Maka, “kajilah apa yang diredai oleh Tuhan” (ayat 9-10).
Apakah manfaatnya? Cahaya Yesus “akan memberimu cahaya” (ayat 14), menerangi jalanmu. “Hiduplah dengan hati-hati,” Paulus menyimpulkan (ayat 15). Dengan berjalan dengan yakin dalam cahaya Kristus, kita akan memberkati orang lain dengan menunjukkan mereka kepada-Nya—sumber cahaya yang sejati.