Christian Spencer, seorang jurugambar dari Australia, telah menghabiskan lebih daripada dua puluh tahun untuk mengambil gambar di Taman Negara Itatiaia, Brazil. Salah satu aspek luar biasa dalam fotografinyaialah dia berjaya menangkap kesan cahaya matahari yang menembusi sayap burung madu yang terbuka. Dia menemui bahawa sayap burung tersebut menghasilkan warna pelangi seperti prisma apabila burung terbang di antara matahari yang terang dan lensa kameranya. Jurugambar yang lain juga pernah menangkap fenomena ini pada burung-burung selain daripada burung madu.

Menemui warna pelangi pada sayap burung ialah salah satu contoh tentang khazanah-khazanah tersembunyi yang diletakkan Tuhan dalam ciptaan-Nya. Keindahan dan keagungan ini dapat membangkitkan rasa ingin tahu kita tentang apa yang akan diperhatikan oleh orang yang percaya kepada Yesus, apabila mereka melihat Yesus duduk di atas takhta-Nya. Ketika Yohanes melihat takhta syurgawi dalam Wahyu 4, dia pastinya terpesona. Dia menggambarkan Kristus bersemayam di atas takhta dengan “pelangi yang bersinar laksana zamrud” yang mengelilingi-Nya (ayat 3). Kata-kata tidak dapat menggambarkan kemuliaan Tuhan yang ditunjukkan kepada rasul tersebut.

Ketika kita menemui khazanah tersembunyi dalam ciptaan Tuhan, semoga kita menikmati setiapnya, mengetahui bahawa jauh lebih banyak lagi keindahan yang menanti kita di syurga. Di sana, kita akan menyembah Pencipta kita dan memuji Dia selama-lamanya: “Ya Tuhan, ya Allah kami! Hanya Engkau yang layak menerima kemuliaan, kehormatan dan kuasa, kerana Engkaulah yang mencipta segala-galanya, dan dengan kehendak-Mu segala-galanya wujud dan dicipta” (ayat 11).