Dalam bukunya From the Pit to the Pulpit (Dari Kegelapan ke Mimbar), John Stroup berkongsi tentang kuasa yang kuat dan jahat dalam hidupnya, yang telah memusnahkan dan melukainya secara fizikal, seksual, dan emosi. Dia menulis, “Saya mula menggunakan dadah sebelum saya tahu memandu kereta … Saya berhenti sekolah dan semakin terjerumus ke dalam gaya hidup berjenayah.” Akhirnya, dia dipenjarakan akibat penglibatannya dalam jenayah. Semasa menjalani hukuman penjara selama lima tahun, kebenaran dalam Alkitab menjadi nyata kepadanya, dan dia menjadi rendah hati di hadapan Tuhan. Dengan rahmat Tuhan, dia dibebaskan daripada kuasa jahat yang lebih kuat daripadanya, dan membuang tabiat-tabiat buruk yang dahulunya telah membelenggu dia.
Bangsa Israel pada zaman purbakala sering menghadapi penindasan, malah kadangkala tertawan oleh “tangan-tangan yang lebih kuat daripadanya” (Yeremia 31:11). Walaupun situasi mereka itu berpunca daripada kebodohan mereka sendiri, Tuhan sendiri menunjukkan belas kasihan dan kuasa-Nya bagi pihak umat-Nya yang sesat. Apabila Tuhan melakukan perbuatan perkasa untuk kebaikan umat-Nya, pemulihan yang membawa nyanyian yang sukacita, tuaian yang melimpah, dan keraian (ayat 12-14) akan dijangkakan terjadi.
Kehidupan John Stroup merupakan satu kesaksian akan kuasa Tuhan bagi mereka yang meletakkan iman mereka kepada Anak-Nya, Yesus. Kita boleh melihat kuasa Kristus menang atas segala kuasa jahat dalam hidup manusia melalui kitab-kitab Injil. Hari ini, “sesiapa yang menyeru nama Tuhan” (Kisah Para Rasul 2:21) boleh memperoleh kekuatan serta kuasa Yesus melalui doa yang tulus, penuh iman, serta penyerahan diri yang tulus ikhlas.