Sebuah pasukan pembinaan di Florida yang sedang menjalankan projek saluran air bernilai $42 juta telah menemui satu khazanah yang berharga. Jauh di dalam tanah, mereka menjumpai sebuah bot nelayan pada abad 1800-an yang masih terpelihara dengan baik. Kapal tersebut mengandungi artifak-artifak yang menarik, termasuk sebahagian pelita minyak tanah, cawan minuman yang diperbuat daripada tempurung kelapa, dan syiling-syiling. Kapal itu sedang dikaji dengan teliti supaya dapat memberikan maklumat tentang kesan kehidupan yang wujud di kawasan tersebut lebih daripada seratus tahun yang lalu. “[Ini] bukan sekadar sebuah kapal biasa. Ia telah “menyaksikan” kehidupan orang biasa pada suatu ketika,” kata seorang ahli arkeologi maritim. Dengan menggali lebih dalam, pengetahuan dan hikmat yang berharga telah diperoleh.
Kitab Pengkhutbah mengandungi khazanah hikmat yang besar apabila kita mengkajinya—hikmat dahulu kala yang mencerminkan peristiwa-peristiwa harian pada zaman itu dan zaman kita. Salomo menyatakan bahawa “hati orang yang bijaksana mengetahui … waktu dan cara yang sewajarnya bagi setiap perkara” (Pengkhutbah 8:5-6). Dia menulis bahawa hikmat diperoleh dengan mengingat “segala perbuatan yang dilakukan Allah” (ayat 17) dan siapa Dia (12:1). Hanya Tuhan yang memberikan makna kepada segala kehidupan. Tanpa Dia, segala adalah “sia-sia” (8:14). Hikmat-Nya membolehkan kita menikmati kehidupan yang memuaskan dan penuh sukacita dalam kehadiran-Nya (ayat 15).
Kitab Pengkhutbah mendedahkan bahawa orang akan “datang dan pergi” (1:4), seperti yang dibuktikan dengan penemuan kapal di Florida itu. Tetapi hikmat Tuhan memberi kita kehidupan yang sebenar, berkekalan dan mempunyai tujuan (Yohanes 10:10). Marilah kita mendalami firman Tuhan untuk menemukan hikmat dahulu kala yang diberikan-Nya.