Letty, seorang pembersih yang bertugas di sebuah bangunan pejabat, dikenali kerana dia berjalan dengan laju—memang sangat laju. Dengan cara ini, dia boleh sahaja mengelak daripada berinteraksi dengan orang lain. Hatinya terluka kerana kehidupannya yang susah dan terbiasa dipandang rendah oleh orang lain. Oleh itu dia sering berjalan sambil menutup sebahagian wajahnya. Dia menyimpan rasa malu yang sangat mendalam, “Aku tidak seperti kebanyakan orang, yang mereka cantik dan belajar tinggi,” katanya. Namun, apabila seorang wanita di tempat kerja secara inisiatif berkawan dengannya, Letty mula pulih dan sembuh secara dalaman.

Seorang lelaki yang menghidap penyakit kusta hidup dengan rasa malu yang mungkin lebih mendalam daripada Letty. Penyakitnya menjadikan dia jijik di mata orang lain dan dianggap tidak suci menurut hukum Musa, sehingga dia harus diasingkan daripada masyarakat umum. Kelukaan lelaki itu bukan sahaja bersifat fizikal; tetapi juga secara jiwa dan roh. Dalam kelukaan ini, pesakit kusta itu datang kepada Kristus dan merayu, “Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku” (Markus 1:40). Sembuhkanlah aku, dia berkata, tetapi juga bermaksud hapuskan rasa maluku.

Yesus tidak menjawab dengan rasa jijik, tetapi dengan belas kasihan. “Aku mahu,” kata-Nya. “Tahirlah!” “sambil menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu” (ayat 41). Tindakan Yesus menunjukkan bahawa Dia memahami segala penderitaan orang itu dan tetap menerima dia sepenuhnya, sebagaimana persahabatan yang ditawarkan kepada Letty oleh seorang rakan sekerja.

Kita mungkin menjalani hidup ini dengan menyembunyikan perkara yang membuat kita rasa terasing daripada “kebanyakan orang, yang cantik, dan belajar tinggi.” Semoga kita membenarkan Yesus menyentuh dan menebus perkara-perkara yang menyebabkan kita berasa malu. Semoga kita sedar bahawa sebagai anak-anak-Nya, kita diterima dan dikasihi-Nya.