Sekumpulan dubuk (atau hiena) mengelilingi seekor singa betina. Apabila binatang buas yang berbunyi seperti ketawa berdekit-dekit itu menyerang, singa betina itu melawan balik. Dalam percubaan terdesak, singa itu menggigit, mencakar, dan mengaum untuk menghalau musuh-musuhnya, akhirnya singa betina itu tumbang. Sementara dubuk-dubuk itu mengelilinginya, seekor singa betina yang lain datang untuk menyelamatkannya, diikuti dengan tiga ekor singa lain di belakangnya hanya beberapa saat kemudian. Meskipun bilangan singa lebih sedikit berbanding dubuk-dubuk itu, singa-singa itu melawan sehingga sekumpulan dubuk itu lari lintang-pukang. Singa-singa betina itu berdiri bersama-sama serta berawas-awas seolah-olah dubuk-dubuk itu akan cuba menyerang lagi.

Orang yang percaya kepada Yesus sangat memerlukan bantuan daripada orang lain juga. Pertolongan paling berkuasa yang boleh kita berikan ialah doa. Rasul Paulus menulis dalam surat kepada jemaah di Roma, “Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, demi Tuhan Yesus Kristus dan demi kasih daripada Roh Kudus, berdoalah bersungguh-sungguh bersamaku kepada Allah bagi diriku” (Roma 15:30). Paulus meminta mereka untuk berdoa agar dia “terhindar daripada orang yang tidak beriman di Yudea” dan supaya pelayanannya “disambut baik” oleh “orang salih” di situ (ayat 31). Dia menyatakan kegembiraannya kerana dapat menjadi sebahagian daripada komuniti mereka (ayat 32). Dia juga berdoa bersama mereka, mengakhiri suratnya dengan berkat ini: “Semoga Allah, sumber kesejahteraan, menyertai kamu semua” (ayat 33).

Semasa kita hidup untuk Yesus, kita akan menghadapi musuh di alam rohani dan alam fizikal. Tuhan berjanji untuk menyertai kita dan berperang bagi pihak kita, namun, ketika kita berdiri bersama … siap sedialah untuk sentiasa berdoa.