Ginnie Hislop diberikan tepukan gemuruh apabila dia menerima ijazah sarjananya pada tahun 2024. Mengapa? Ini kerana ijazah itu diberikan 84 tahun selepas dia menamatkan kursusnya. Dia sepatutnya hanya perlu menghantar tesisnya pada tahun 1941. Tetapi teman lelakinya ketika itu, George, tiba-tiba dipanggil untuk masuk tentera semasa Perang Dunia II. Mereka pun segera berkahwin dan pergi ke tempat tugas tentera—meninggalkan ijazah Ginnie yang hampir dilcapai. Namun, selepas jeda yang lama, akhirnya dia berjaya melengkapkan pengajian yang tertangguh itu.

Ezra ialah seorang pelajar Kitab Suci—seorang yang mempunyai “ijazah lanjutan” dalam hukum Tuhan. Dia juga telah menunggu bertahun-tahun untuk kembali ke Yerusalem daripada buangan di Babel. “Ezra memang telah menetapkan hatinya untuk mengkaji hukum Tuhan, mengamalkannya, dan mengajarkan ketetapan” (Ezra 7:10). Zerubabel dan sekumpulan orang buangan Israel telah diizinkan pulang dari Babel untuk membina semula Bait Suci di Yerusalem beberapa dekad sebelumnya (2:1-2). Kini Ezra, dengan “pertolongan Allah” (7:9), telah memimpin lebih banyak orang buangan kembali ke Yerusalem. Kemudian Tuhan menggunakan dia untuk melakukan pembaharuan dan pemulihan tentang cara umat Israel menyembah Tuhan menurut Kitab Suci: “Ezra membuka [kitab itu. Seluruh rakyat … menundukkan kepala dan sujud menyembah Tuhan” (Nehemia 8:5-6).

Ezra harus menunggu beberapa dekad, tetapi dia menyelesaikan panggilannya dengan bersandar pada kuasa Tuhan. Dalam kuasa-Nya, mari kita tekun menyelesaikan pekerjaan yang diberikan Tuhan kepada kita.