Pusingan demi pusingan, Katie Ledecky berada di tempat biasa semasa perlumbaan renang 1500-meter gaya bebas di Sukan Olimpik Paris 2024. Kira-kira selama lima belas minit, dia jauh mendahului perenang-perenang yang lain dan tenggelam dalam fikirannya sendiri. Apa yang difikirkan Ledecky semasa perlumbaan jarak jauh itu? Dalam temu bual yang dijalankan sejurus selepas dia memenangi pingat emas dan mencipta rekod baharu Olimpik, Ledecky berkata dia sedang memikirkan tentang rakan-rakan latihannya dan menyebut nama mereka dalam fikirannya.

Para perenang jarak jauh bukan satu-satunya orang yang perlu menumpukan fikiran mereka pada perkara yang betul. Kita sebagai orang yang percaya kepada Yesus juga perlu menjaga pemikiran kita sepanjang perjalanan iman kita.

Rasul Paulus menggalakkan jemaah di Filipi untuk “bersukacita dalam Tuhan,” jangan “bimbangkan apa pun. Dalam segala hal berdoa” (Filipi 4:4, 6). Hasilnya? “Sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus” (ayat 7). Yesus, Raja Damai kita, akan menolong kita melihat kebimbangan dan masalah kita dalam perspektif yang benar.

Paulus juga menggalakkan orang percaya: “Apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi … tumpukan fikiran kepadanya” (ayat 8).

Semasa kita menjalani hari kita, mari kita memperhatikan apa yang kita fikirkan. Apabila kita melihat perbuatan Tuhan dalam hidup kita, kita boleh mengira berkat kita, memuji dan menyembah Dia.