Para peminatnya mengenalinya sebagai Nightbirde. Penyanyi-penggubah lagu, Jane Kristen Marczewski, memenangi rancangan bakat TV popular pada tahun 2021. Pada tahun 2017, dia telah didiagnosis dengan kanser payudara Tahap 3. Pada tahun 2018, dia mengalami pemulihan. Dia mula melancong, tetapi beberapa bulan kemudian kanser itu kembali, dan dia hanya tinggal sedikit peluang untuk terus hidup. Secara luar biasanya, dia pulih kemudian dan diisytiharkan bebas kanser. Tetapi pada 19 Februari 2022, Nightbirde meninggal dunia.

Semasa perjalanan hidupnya yang sukar, dia menuliskan kata-kata ini dalam blognya, “Saya mengingatkan sendiri, saya sedang berdoa kepada Tuhan yang membiarkan orang Israel mengembara di padang gurun selama beberapa dekad. Mereka merayu untuk tiba ke destinasi … sebaliknya Tuhan membiarkan mereka merayau, mengabulkan doa yang tidak diungkapkan oleh mereka …Setiap pagi, Dia menghantarkan mereka roti belas kasihan dari syurga … Saya juga mencari roti belas kasihan ini … Orang Israel menyebutnya manna, yang bermaksud ‘Apakah ini?’ Saya juga bertanya soalan yang sama … Pastinya ada belas kasihan di sini―tetapi apakah itu?”

Kisah Keluaran memperlihatkan banyak perkara tentang belas kasihan Tuhan. Pertama, belas kasihan-Nya dijanjikan kepada bangsa Israel. “Kamu akan kenyang dengan roti” (Keluaran 16:12). Kedua, belas kasihan-Nya mungkin mengejutkan kita, “mereka tidak tahu apa benda itu” (ayat 15). Belas kasihan selalunya bukan seperti yang kita fikirkan. Tetapi ia tetap adalah belas kasihan. Bagi umat Israel, ia kelihatan seperti manna pada waktu pagi. Bagi Nightbirde, seperti yang ditulisnya, belas kasihan Tuhan diberikan melalui selimut yang dihadiahkan oleh seorang kawan, dan jamahan ibunya yang penuh kasih.