Pada awal musim bola keranjang, jurulatih di sekolah menengah kejiranan kami telah giat meyakinkan para pemainnya supaya berani mengambil risiko untuk membaling bola. “Baling!” suruhnya dari tepi gelanggang. Pemain-pemainnya dengan bersemangat saling menghantar bola. Menggelecek bola juga menjadi latihan kegemaran mereka. Separuh musim telah berlalu, barulah kebanyakan pemain itu sanggup membuang rasa ragu-ragu dan mencuba untuk membaling bola bagi mendapatkan mata. Tetapi tindakan “berani mencuba” itulah yang membawa perubahan besar. Dengan mendengar arahan jurulatih, membuang rasa ragu, dan mencuba—walaupun mereka sering tersasar—mereka akhirnya belajar untuk menang.
Yesus mengajar kita untuk membuang rasa ragu, mentaati panggilan-Nya untuk membimbing orang lain menjadi murid-murid-Nya. Dia menjelaskan, “Kepada-Ku telah diberikan segala kuasa di surga dan di bumi. “Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi. Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu”(Matius 28:18-20).
Dari segi praktikal, ini boleh bermakna keluar dari zon selesa kita dan berkongsi kisah kita tentang apa yang telah dilakukan Tuhan dalam hidup kita. Atau mengambil berat jiran kita yang sedang menderita atau terluka hatinya, menunjukkan kasih Yesus kepada mereka melalui tindakan kita. Pendekatan sedemikian memang berkesan, tetapi hanya jika kita berani membuang keraguan dan mencubanya.
Yang paling utama, kita bersandar pada kewibawaan Yesus untuk mencuba sesuatu yang nampak sukar, iaitu menjadikan orang lain murid Kristus. Tapi kita tidak usah takut, kerana Yesus berjanji: “Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman.”