Kawasan kejiranan Dante di Manila sering dilanda banjir. Pada hari hujan, budak kecil itu sampai ke sekolah dengan menyeberangi sebatang jambatan kayu sementara, yang dibuat oleh jirannya, Tomas. “Pak Tomas menyelesaikan masalah pengakutan di masyarakat kami,” kata Dante. “Dia akan menolong saya menyeberangi jambatan dan melindungi saya daripada hujan.”
Beberapa tahun kemudian, Dante menyertai sebuah gereja di utara Manila. Pada waktu itu, Leo ialah mentornya, yang memimpin kajian Alkitab. Dalam satu perbualan tentang zaman kanak-kanak mereka, Dante mendapat tahu bahawa Leo ialah anak kepada Encik Tomas! “Tiada yang kebetulan,” kata Dante. “Tuhan menggunakan anak kepada lelaki yang pernah memberkati saya untuk membantu dalam iman saya.”
Seorang wanita dari kota Sunem juga mengalami pemeliharaan Tuhan. Dengan iman, dia mengikuti nasihat nabi Elisa, meninggalkan rumahnya bagi mengelakkan bencana kebuluran (2 Raja-Raja 8:1-2). Namun dengan berbuat demikian, dia telah melepaskan haknya ke atas rumah dan tanahnya. Pada masa yang sama, dia pergi memohon pertolongan daripada raja tentang hal ini, raja tersebut secara kebetulan sedang bercakap dengan Gehazi, yakni hamba Elisa, tentang wanita ini.
Beberapa tahun sebelumnya, Gehazi telah melihat anak wanita itu mati, tetapi kemudian telah dibangkit semula. Gehazi berkata, “inilah perempuan itu dan inilah anaknya yang dihidupkan kembali oleh Elisa” (ayat 5). Kemudian raja itu pun “menunjuk seorang pegawai istana untuk menolong perempuan itu” (ayat 6) dan mengembalikan hartanya.
Kita boleh tetap percaya kepada Tuhan dan pemeliharaan-Nya, biarpun apabila sesuatu hal tidak berjalan seperti yang kita rancangkan.