Ketika melawat Tanah Suci, kami suka berjalan di tempat-tempat yang pernah dijejaki oleh Yesus. Kini, saya boleh membayangkan suasana, bunyi, dan peristiwa daripada kehidupan Yesus dengan lebih mudah. Tetapi berjalan turun naik di permukaan berbatu-batu yang tidak rata di gereja dan kawasan desa memberikan kesannya. Lutut saya sakit semasa balik ke rumah. Namun itu hanya perkara kecil berbanding dengan mereka yang mengembara berabad-abad yang lalu. Mereka bukan hanya mengalami sakit sendi, tetapi penderitaan besar, malah ada yang mati. Tetapi Tuhan bersama mereka.
Tuhan memanggil umat-Nya untuk mengikut Dia dan menjemput mereka hidup di “sebuah negeri yang luas dan kaya lagi berlimpah-limpah susu dan madu” (Keluaran 3:8). Dia tahu bahawa apabila mereka memasuki tanah yang dijanjikan, mereka akan menghadapi serangan daripada tentera musuh dan halangan seperti kota-kota bertembok. Tuhan telah bersama mereka selama empat puluh tahun dalam pengembaraan di padang gurun dan tidak pernah meninggalkan mereka pada masa ini. Dia berjanji kepada Yosua, iaitu pemimpin baru bangsa Israel, bahawa Dia akan bersama mereka: “Aku akan menyertai engkau. Aku tidak akan menterlantarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau” (Yosua 1:5). Yosua kemudian akan menghadapi cabaran dan kesusahan, tetapi dia hanya perlu menjadi kuat dan berani, dan Tuhan akan membantu dia mengharungi segala cabaran.
Bagi kita yang percaya kepada Yesus, sama ada dipanggil untuk tinggal di tempat asal atau pergi ke tempat lain, kita akan menghadapi bahaya, cabaran, dan penderitaan dalam hidup ini. Tetapi kita boleh berpegang kepada janji-janji Tuhan yang tidak akan meninggalkan kita. Kerana Dia, kita juga boleh menjadi kuat dan berani.