Para peminat bola sepak Amerika terkejut apabila Damar Hamlin dari pasukan Buffalo Bills rebah di padang semasa siaran langsung televisyen, selepas dia melakukan satu rutin takel yang kelihatan biasa pada Januari 2023. Pemuda berusia dua puluh empat tahun itu tiba-tiba mengalami serangan jantung. Jantungnya berhenti berdegup tetapi dipulihkan oleh para petugas perubatan di padang. Takjubnya, tiga bulan selepas mati dan dihidupkan semula atas padang, Hamlin telah dibenarkan untuk bermain bola sepak Amerika semula.
Hamlin menyatakan bahawa dia bersyukur kepada Tuhan dan kakitangan perubatan yang telah menyelamatkan nyawanya. Dia merancang untuk terus menjadi inspirasi kepada orang lain. Dalam Yohanes fasal 11, Lazarus juga mengalami pemulihan yang luar biasa.
Ketika Yesus tiba di Betania, Lazarus telah meninggal selama empat hari. Kedua-dua saudara perempuannya yang berdukacita, Maria dan Marta, menyaksikan kuasa Yesus atas kematian dan mengakui bahawa Dialah “kebangkitan dan hidup” (Yohanes 11:25). “Yesus berseru lantang, ‘Lazarus, keluar!’ Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka” (ayat 43-44).
Kita juga mengalami kuasa kebangkitan Kristus. Kita pernah mati dalam dosa kita, tetapi kini kita hidup dalam Kristus (Roma 6:1-11). Sebagai orang yang percaya, Roh yang sama membangkitkan Yesus daripada kematian tinggal di dalam kita (Roma 8:10-11). Bersemangatlah! Walaupun setiap kita akan mati secara fizikal, itu bukanlah pengakhiran kisah kita. Kita dijanjikan hidup yang kekal bersama Yesus.