Seorang kelasi Perancis, bersama kucingnya, sedang belayar dari Pelabuhan Dutch—yang terletak di sebuah pulau di selatan Alaska—ke San Diego, California, apabila kapal layarnya diterbalikkan oleh ombak besar. Kapal tersebut kembali tegak sendiri, tetapi kelasi itu kehilangan kemudi dan takalnya akibat daripada ombak ganas itu. Dia melaporkan situasi buruknya kepada Pengawal Pantai, menyatakan bahawa dia dan kapalnya terhanyut di tengah lautan, kehilangan kawalan pada kapal, dan “boleh dikatakan mati di atas air.” Akhirnya, Pengawal Pantai menghubungi sebuah kapal penggerudi minyak yang berhampiran, dan mereka datang untuk menyelamatkannya. Namun, dia masih perlu membuat lompatan iman, kerana dia harus melompat dari kapalnya ke kapal penyelamat bersama kucing yang diselipkan di bawah jaketnya.
Dalam Efesus fasal 2, Paulus menggambarkan keadaan manusia yang berdosa dan tiada pengharapan—mati secara rohani dan terpisah daripada Tuhan (ayat 1). Lebih-lebih lagi, kita tidak mentaati kehendak Tuhan (ayat 2) dan rosak akhlak—mustahil untuk diselamatkan melalui perbuatan sendiri (ayat 3). Tetapi “dengan kasih kurnia,” Yesus membolehkan kita “diselamatkan, melalui iman,” dan keselamatan ini ialah satu “kurnia Allah” (ayat 8).
Setiap kita pernah terkandas di lautan dosa dan maut yang bergelora, tetapi pujilah Tuhan, kerana kita mempunyai seorang Penyelamat yang telah menyediakan keselamatan-Nya. Kita boleh melompat dengan iman ke dalam tangan-Nya yang selalu bersedia untuk menangkap kita. Hanya Kristus yang dapat menyelamatkan kita dan membawa kita ke tempat yang selamat.