Di stesen pengecas kenderaan elektrik di seluruh Amerika Syarikat, ada pemandu yang menggunakan “pengecas pantas” terlalu lama. Pengecas ini sebenarnya direka untuk mengecas dengan cepat supaya pemandu boleh segera meneruskan perjalanan. Untuk mengatasi sikap mementingkan diri ini, salah sebuah syarikat pengecas terbesar telah menetapkan had masa yang ketat di beberapa stesen paling sibuk. Apabila tahap bateri kenderaan mencapai 85 peratus, pemandu perlu memberi ruang kepada kereta lain yang memerlukan cas.
Rasul Paulus menggalakkan orang yang percaya kepada Yesus agar merendahkan diri dan “menganggap yang lain lebih tinggi daripada diri [sendiri]” (Filipi 2:3). Dia menegur satu masalah dalam gereja di Filipi—sikap mementingkan diri sendiri. Ramai yang mahu dikenali dan dihormati, tetapi bukan dengan niat yang murni, melainkan kerana “kepentingan diri” (ayat 3). Paulus menggesa mereka supaya mempunyai pemikiran seperti Kristus dan mengambil berat tentang “kepentingan orang lain” (ayat 4). Ini bukan bermaksud bahawa mereka perlu mengabaikan keperluan sendiri secara tidak sihat, tetapi menjaga keperluan orang lain dengan hati yang sama dengan Kristus Yesus (ayat 5). Paulus mengajak mereka membuang keangkuhan dan memberi ruang dengan rendah hati untuk mengutamakan orang lain. Apakah dorongan utama untuk memberi ruang ini? Kasih.
Semasa kita berusaha untuk mencontohi teladan Kristus setiap hari (ayat 6-11), Dia dapat menolong kita untuk memberi ruang kepada orang lain dengan melihat mereka melalui pandangan Kristus yang penuh kasih.