Pada tahun 1997, Universiti Negeri Iowa menamakan stadium bola sepak Amerika mereka sempena nama seorang atlet kulit hitam pertama mereka: Jack Trice. Namun tragisnya, Trice tidak pernah sempat bermain di kota Ames, Iowa. Pada 6 Oktober 1923, dia meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang dialami dalam perlawanan keduanya di Minneapolis, Minnesota.

Pada malam sebelum perlawanan itu, Trice menulis satu nota kepada diri sendiri sebagai tanda tekadnya:

“Maruah kaumku, keluargaku dan diriku sendiri sedang dipertaruhkan. Semua orang mengharapkan aku melakukan sesuatu yang besar. Aku pasti lakukannya! Seluruh tubuh dan jiwaku akan dicurahkan sepenuhnya di padang esok. Setiap kali apabila perlawanan dimulakan, aku akan berusaha lebih daripada kemampuanku.” Trice sangat memahami bahawa tindakannya lahir daripada harga diri dan maruah tentang siapa dirinya, dan ini memberinya semangat yang luar biasa.

Rasul Paulus menulis sesuatu yang serupa dalam suratnya kepada jemaah di Efesus, apabila dia mencabar orang percaya supaya cara hidup mereka dipengaruhi oleh siapa diri mereka dalam Kristus: “Oleh itu aku, yang terpenjara kerana Tuhan, merayu agar kamu, sebagai orang yang telah dipanggil, hiduplah berpadanan dengan panggilan itu” (Efesus 4:1). Paulus mencabar kita menjalani kehidupan yang dibentuk oleh perbuatan Yesus untuk kita, dalam kita, dan melalui kita, kehidupan yang akan menghasilkan kerendahan hati, sifat lemah lembut, kesabaran, bertolak ansur, kasih dan kesejahteraan (ayat 2-3), apabila kita menggunakan pemberian yang dikurniakan oleh Tuhan dalam diri kita untuk saling melayani (ayat 15-16).