Saya berjalan ke kaunter syarikat penerbangan untuk daftar masuk menggunakan nombor pengesahan yang muat turun dalam telefon bimbit. Namun, telefon saya telah hilang! Saya tertinggal telefon itu di dalam kereta yang menghantar saya. Jadi, bagaimana saya boleh menghubungi pemandu kereta sewa itu?
Semasa saya bergegas untuk menyambungkan komputer riba saya ke Wi-Fi lapangan terbang, saya bimbang semuanya sudah terlambat. Dengan menggunakan satu aplikasi, suami saya menyedari bahawa telefon saya tiada bersama saya di lapangan terbang, dia pun menghantar e-mel kepada saya, yang terus saya terima sebaik sahaja sambungan Wi-Fi berjaya. Dalam e-mel itu dia berkata, “Hantarlah nombor perkhidmatan kereta itu kepada saya, dan saya akan menguruskannya.” Suami saya segera mengambil alih untuk membantu, pada waktu itu dengan serta-merta saya telah mengalami rasa damai.
Inilah sebahagian damai yang saya percaya Tuhan mahu kita alami dalam hubungan dengan-Nya melalui Kristus. 1 Petrus 5:7 mengingatkan kita untuk “serahkan segala kerunsingan[kita] kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentang [kita].” Ayat ini menunjukkan bahawa Tuhan mahu menanggung segala kerisauan dan beban kita. Mengapa? Kerana Dia sangat mengambil berat tentang kita. Kita boleh menyerahkan beban kehidupan kita kepada Tuhan dan bukannya membiarkan ia mengganggu fikiran kita.
Menyerahkan kebimbangan kita kepada Tuhan adalah satu bentuk kerendahan hati yang mengakui bahawa Dia jauh lebih mampu untuk menangani masalah kita berbanding diri kita sendiri (ayat 6). Walaupun kita mungkin mengalami kesusahan dan penderitaan (ayat 10), kita tetap boleh tenteram kerana kita tahu bahawa Tuhan menjaga dan mencukupkan keperluan kita.