Anak saudara perempuan saya yang berusia tiga tahun mula memahami bahawa dia boleh mempercayai Yesus dalam apa jua situasi. Pada suatu malam semasa dia berdoa sebelum tidur ketika ribut petir melanda, dia merapatkan tangannya, menutup mata dan berkata, “Yesus yang dikasihi, aku tahu Engkau ada sama-sama kami. Aku tahu Engkau sayang kami, dan aku tahu ribut ini akan henti apabila Engkau suruhnya henti.”

Saya fikir mungkin baru-baru ini dia telah mendengar kisah tentang Yesus dan para murid ketika mereka menyeberangi Laut Galilea. Kisah ini menceritakan Yesus tertidur di bahagian belakang perahu sebelum ribut kencang hampir menenggelamkan perahu itu. Para murid membangunkan Dia dan berkata, “Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!” Namun Yesus tidak menjawab mereka, sebaliknya menegur angin agar berhenti: “Diam! Tenanglah!” (Markus 4:38-39).

Dengan serta-merta air berhenti daripada menerpa perahu. Angin ribut reda. Dalam keheningan itu, Yesus memandang para murid-Nya dan berkata, “Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu masih tidak percaya?” (ayat 40). Saya dapat membayangkan mata mereka terbeliak memandang Yesus sambil air hujan mengalir di wajah dan janggut mereka.

Apa akan berlaku jika kita hidup hari ini dengan rasa kagum yang sama seperti murid-murid ketika itu? Apa akan berlaku jika kita melihat setiap kebimbangan dengan kesedaran baru tentang kuasa dan kewibaan Yesus? Mungkin, iman kita yang seperti kanak-kanak akan menghapuskan ketakutan kita. Mungkin pada waktu itu kita akan percaya bahawa Tuhan berkuasa dalam setiap badai hidup yang kita hadapi.