Andres, pemilik sebuah syarikat elektronik, memberikan ganjaran kepada pekerja yang mencatat jualan terbaik—percutian sehari ke sebuah resort pantai. Andres juga membawa anak lelakinya yang berumur tujuh tahun, Jimmy. Sebelum bertolak, Jimmy memegang tangan ayahnya dengan penuh teruja semasa semua orang menaiki van. “Kamu pun ikut sama. Berapa banyak jualan yang kamu dah buat?” seorang pekerja bergurau dengan Jimmy. “Tiada!” jawabnya, sambil menunjuk ke arah ayahnya. “Dia yang ajak saya ikut!”
Jimmy tidak perlu berusaha untuk layak mengikut percutian itu, sebab ayahnya yang membayar untuk dia. Begitu juga dengan kita sebagai orang percaya kepada Yesus—kita tidak bergantung pada perbuatan baik kita untuk masuk ke syurga. Kita diterima kerana Yesus telah mati dan bangkit untuk kita. “Ganjaran dosa ialah kematian” (Roma 6:23), dan darah Yesus sendiri menjadi “bayaran” untuk membebaskan kita daripada hutang dosa. “Dalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya, pengampunan dosa” (Efesus 1:7). Yesus telah membuka jalan supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya “tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (Yohanes 3:16). Karya penyelamatan yang dilakukan oleh Yesus, dan kepercayaan kita kepada-Nya, membolehkan kita bersama-Nya selama-lamanya.
Apabila kita percaya Yesus sebagai Penyelamat, kita menjadi anak Tuhan. Inilah “kemuliaan kasih kurnia-Nya, yang dirahmati-Nya kepada kita dalam Dia yang dikasihi-Nya” (Efesus 1:6). Seperti Jimmy, kita boleh memandang Bapa kita yang di syurga dengan yakin dan berkata, “Dia yang ajak saya ikut!”