Sesuatu yang luar biasa berlaku dalam sepuluh ayat pendek bermula dengan Kisah Para Rasul 7:59. Kisah ini bertukar dengan cepat daripada Stefanus dengan kejamnya direjam batu sampai mati, kepada para pengikut Kristus lain yang tercerai-berai dan “menyampaikan firman,” sehingga membawa kata-kata yang menakjubkan ini: “Seluruh kota itu amat bersukacita” (Kisah Para Rasul 8:8).
Itulah paradoks penganiayaan.
Seorang pastor dari Eropah yang bernama Hristo Kulichev, mengalami sendiri mukjizat melalui kebaikan yang datang daripada kejahatan. Pada tahun 1980-an, dia ditangkap kerana memberitakan Injil dan dimasukkan ke dalam penjara. Namun dia tetap berkongsi Injil Yesus dengan berani semasa menjadi banduan. Selepas dibebaskan lapan bulan kemudian, dia berkata, “Kami mempunyai pelayanan yang lebih berhasil di penjara daripada yang kami jangkakan di gereja. Kami dapat melayani Tuhan dengan lebih baik daripada waktu bebas di luar.”
Daripada penganiayaan kepada sukacita yang besar—seperti yang terjadi dalam gereja mula-mula. Apabila “penganiayaan yang dahsyat dilakukan” (Kisah Para Rasul 8:1), “Mereka yang bercerai-berai pergi ke merata-rata menyampaikan firman” (ayat 4). Hasilnya, seluruh kota di Samaria, “amat bersukacita” (ayat 8).
Apabila kuasa di dunia kita menentang kebenaran dan ajaran Kitab Suci—terutamanya Injil—itu bukan masanya untuk berputus asa. Tuhan bertindak dengan cara yang luar biasa apabila gereja menghadapi kesukaran sedemikian.
Petrus berkata, “janganlah hairan bahawa kamu diuji dengan penderitaan yang berat” (1 Petrus 4:12). Dalam keadaan sedemikian, “diberkatilah kamu kerana Roh yang mulia iaitu Roh Allah ada bersamamu” (ayat 14). Tuhan berkuasa untuk mengubah penganiayaan menjadi sesuatu yang berharga.
