Pada 14 Januari 1973, apabila Super Bowl VII (perlawanan akhir kejuaraan tahunan bola sepak Amerika) berlangsung, semua orang sedang menantikan jika pasukan Miami Dolphin boleh mencapai kemenangan berturut-turut. Sebelum musim pertandingan itu, pasukan Miami Dolphins telah memegang rekod yang sempurna—enam belas perlawanan tanpa kalah. Apabila Super Bowl tamat, pasukan Dolphins menjadi satu-satunya pasukan yang tercatat dalam sejarah bola sepak Amerika profesional dengan rekod yang paling sempurna.

Yang menang. Itulah gelaran yang sesuai bagi Yesus, kerana pelayanan-Nya mendedahkan satu demi satu kemenangan jika kita melihat dari dekat. Catatan Matius tentang pelayanan Kristus di Galilea (Matius 4:23-9:38) termasuk pernyataan ringkasan di bahagian depan dan belakang: “Yesus menjelajah ke serata Galilea. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan Injil Kerajaan Allah serta menyembuhkan semua jenis penyakit dan kesakitan dalam kalangan mereka” (4:23; lihat 9:35). Kristus telah menang atas kuasa Iblis, penyakit, dan maut (lihat Markus 5:1-43). Apa yang kelihatan seperti kekalahan yang menghancurkan—kematian-Nya di kayu salib—sebenarnya ialah kemenangan terakhir. Dia mengalahkan musuh utama, iaitu maut, dengan kebangkitan-Nya sendiri (lihat Kisah Para Rasul 2:24).

Sama ada dalam bidang sukan ataupun bidang-bidang lain, biasanya pemenang diberikan ganjaran dalam bentuk anugerah dan hadiah. Namun apakah respons kita yang sewajarnya kepada Yesus, yang telah berjanji kepada semua orang yang percaya kepada Dia bahawa mereka akan diampuni dan memiliki hubungan yang benar dengan Tuhan, melalui kehidupan, kematian, dan kebangkitan-Nya? Tiada hal yang lebih wajar selain menyembah Tuhan kita dengan komitmen yang sungguh-sungguh!