Thomas de Mahy adalah salah seorang bangsawan yang dibunuh oleh perusuh semasa Revolusi Perancis pada akhir abad kelapan belas. Menurut satu cerita legenda, apabila membaca waran kematiannya, de Mahy menjawab, “Saya nampak anda telah melakukan tiga kesilapan ejaan.” Jika kisah itu benar, de Mahy secara terang-terangan tidak menghiraukan perkara yang jauh lebih penting—kematiannya yang semakin hampir.
Hari ini, kita juga berisiko terlepas pandang perkara yang amat penting, iaitu tubuh Kristus (gereja). Ada pihak yang memutarbelitkan tujuan gereja. Mungkin kita melihat gereja sebagai platform politik, atau sebagai tempat untuk dilayani. Mungkin kita melihatnya sebagai institusi keagamaan semata-mata. Namun, keutamaan gereja sejak awal ialah menyebarkan berita baik tentang Yesus.
Paulus berkata kepada orang percaya di Korintus, “Aku telah menyampaikan kepadamu hal-hal utama, yang telah kuterima sendiri: Bahawa Kristus telah mati untuk menebus dosa kita, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci” (1 Korintus 15:3-4). Walaupun banyak perkara lain mungkin ada masa dan tempatnya yang sesuai, Injil adalah yang paling penting.
Bagaimanakah kita boleh menjadi pembawa berita baik Tuhan kepada dunia yang penuh dengan berita buruk? Dengan memohon Tuhan memberi kita kuasa dan keberanian untuk berkongsi berita baik ini melalui setiap kesempatan.
