Dua orang juruterbang tertidur semasa penerbangan mereka di ruang udara Indonesia. Semasa juruterbang utama mendapat kebenaran untuk tidur sebentar sebaik pesawat mencapai ketinggian penerbangan, dia terjaga dan mendapati pembantu juruterbangnya juga telah tertidur. Kedua-duanya tertidur selama kira-kira tiga puluh minit. Lebih daripada 150 orang penumpang dan anak kapal berada di atas kapal terbang serta berada pada ketinggian kira-kira 36,000 kaki (10,973 meter). Pesawat telah tersasar dari laluan asal, tetapi syukurlah pesawat itu masih selamat tiba di destinasinya.
Juruterbang manusia mungkin tertidur semasa penerbangan, tetapi kita boleh yakin bahawa Tuhan tidak pernah tertidur.
Inilah penghiburan yang ditawarkan kepada kita dalam Mazmur 121. Dalam lapan ayat, kita diingatkan bahawa Tuhan Maha Mengetahui—Dia mengetahui segalanya tentang kehidupan kita; Maha Hadir—Dia sentiasa menyertai kita sepanjang hari; dan Maha Kuasa—Dia melindungi dan memelihara kita. Pemazmur menyatakan bahawa pertolongan kita datang daripada Tuhan (ayat 2). Dialah penjaga dan naungan kita (ayat 5), dan Dia melindungi kita daripada segala kejahatan serta memelihara jiwa kita (ayat 7).
Tuhan tidak pernah jemu. “Dia tidak akan membenarkan kakimu diganjakkan—Dia yang memeliharamu tidak akan lena” (ayat 3). “TUHAN akan melindungi pemergianmu dan kepulanganmu,” pemazmur menyimpulkan “sekarang dan selama-lamanya” (ayat 8).
Apabila kita tertanya-tanya sama ada Tuhan telah melupakan kita, kita boleh yakin bahawa Dialah yang memegang kemudi hidup kita. Dia sentiasa berjaga dan mengawasi kita.
