Alida menjalani ujian DNA pada tahun 2020, dan hasil ujian menunjukkan bahawa ada padanan yang kuat dengan seorang lelaki yang tinggal di pantai bertentangan Amerika Syarikat. Kemudian, dia dan anak perempuannya menemui sebuah artikel berita dari tahun 1950-an, sehingga mereka membuat kesimpulan bahawa lelaki itu ialah bapa saudara Alida yang telah lama hilang, Luis! Dia telah diculik dari sebuah taman pada tahun 1951 ketika dia berumur enam tahun. Ujian DNA itu, yang diambil tujuh puluh tahun selepas kehilangan Luis, akhirnya membawa kepada pertemuan semula yang bahagia dengan ahli keluarga kandungnya. Alida berkata, “Dengan berkongsi kisah kami, ia mungkin dapat membantu keluarga lain … Saya ingin berkata, jangan berputus asa.”
Tujuh puluh tahun ialah masa yang lama untuk terus berharap. Yeremia dan orang Yehuda pasti patah hati dan takut apabila Tuhan berfirman bahawa mereka akan “menghamba kepada raja Babel selama tujuh puluh tahun” (Yeremia 25:11). Tetapi mereka enggan bertaubat daripada “perilaku yang jahat dan … segala perbuatan yang jahat” (ayat 5). Dosa mereka telah menyebabkan mereka menjadi “kengerian, cemuhan, dan reruntuhan untuk selama-lamanya” (ayat 9). Dalam kitab Yeremia, bangsa itu telah dikecam lebih daripada tiga puluh kali kerana mereka tidak mahu mendengar suara Tuhan. Tujuh puluh tahun mungkin terasa seperti selama-lamanya, tetapi Tuhan tidak meninggalkan mereka. Dia berjanji akan tetap menyertai mereka dan bahawa musim sukar akhirnya akan berakhir (29:10).
Apabila kita menghadapi masa-masa sukar dalam hidup yang nampaknya berterusan, marilah kita ingat bahawa walaupun kita mungkin bergelut untuk mempercayai Tuhan, Dia berjanji bahawa Dia bersama kita dan mengasihi kita (30:11). Saat kita memutuskan untuk mendengar-Nya dan menanti dengan penuh pengharapan, akan nyata kepada kita bahawa harapan masih ada.
