Pada Hari Kesyukuran suatu tahun, saya menelefon untuk memberi salam kepada ibu bapa saya. Saya bertanya kepada ibu saya apa yang dia paling bersyukur. Dia berkata dia amat bersyukur kerana “ketiga-tiga anak ibu telah mengenal Tuhan.” Bagi ibu saya, yang selama ini sangat menekankan kepentingan pendidikan, ternyata ada sesuatu yang lebih berharga baginya, lebih daripada kejayaan akademik atau kemampuan anak-anaknya untuk berdikari.

Perasaannya itu mengingatkan saya akan Amsal 22:6, “Didiklah seorang anak di jalan yang patut dilaluinya, maka pada masa tuanya pun dia tidak menyimpang dari laluan itu”. Ayat tersebut bukan suatu janji mutlak, tetapi lebih merupakan satu prinsip yang bijak, kerana dalam realiti, ada anak-anak mungkin tersasar daripada Tuhan sekurang-kurangnya untuk suatu waktu dalam hidup mereka.. Itulah sebabnya ibu dan ayah saya telah berusaha untuk membesarkan kami agar kami mengasihi Tuhan dengan rendah hati dan hormat (ayat 4)—terutamanya melalui teladan hidup mereka. Kini, dengan rahmat-Nya, mereka berpeluang menyaksikan kami membesar dan mendapat manfaat dengan membina hubungan peribadi dengan Tuhan. Seperti yang dikatakan dalam ayat 2, “TUHAN yang menjadikan … semua [manusia].” Walaupun sesetengah kanak-kanak akan memberi respons kepada ajaran Kristus yang penuh kasih, yang lain mungkin harus mengambil masa yang lebih lama untuk membuat keputusan hidup yang betul. Untuk anak-anak yang berharga ini, mari kita terus mendoakan mereka dan menantikan Tuhan akan memimpin mereka menurut waktu-Nya.

Kesyukuran ibu yang rendah hati menunjukkan perkara yang paling penting dalam hidup. Mengasihi Tuhan dengan hormat akan menghasilkan kekayaan rohani untuk kehidupan ini dan selepasnya (ayat 4). Walaupun kita tidak dapat mengawal pilihan yang akan dilakukan oleh anak-anak , kita boleh berharap bahawa Tuhan akan terus bekerja dalam hati mereka dengan penuh kasih.