Pedro menjadi pengikut Yesus pada usia lima puluh tahun. Dia seorang pemarah dan pendendam dan telah menyakiti orang di sekelilingnya. Semasa dia menerima kaunseling di gerejanya, dia berasa menyesal dengan masa lalunya. “Sekarang saya mempunyai tahun-tahun yang lebih singkat daripada tahun-tahun yang telah saya lalui,” katanya. “Saya mahu menghabiskan sisa hidup ini dengan baik. Tetapi bagaimana?”
Pedro menemukan jawapannya daripada sumber yang tidak dijangka—salasilah. Semasa membaca kisah Musa tentang keturunan Adam, dia menyedari bahawa ada satu ayat yang diulang-ulang untuk menggambarkan keturunan Adam: “ Setelah mencapai usia [bilangan] tahun, [nama] pun meninggal.” (lihat Kejadian 5:8, 11, 14, 17, 20, 27, 31). Tetapi ada seorang lelaki digambarkan secara berbeza.
Henokh digambarkan sebagai seorang yang “hidup akrab dengan Allah” (ayat 22, 24). Sepanjang hidupnya di dunia, dia sentiasa hidup akrab dengan Tuhan. Kerana imannya, “dia mendapat keredaan Allah” (Ibrani 11:5). Henokh memiliki kepercayaan yang teguh, dan teguh kepada siapa Tuhan itu dan apa yang akan dilakukan-Nya bagi mereka yang mencari Dia (ayat 6). Dia menunjukkan kepercayaannya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa dengan taat kepada-Nya, dan imannya sedemikian rupa sehingga Tuhan menyelamatkannya daripada kematian fizikal (ayat 5).
“Bagaimanakah saya dapat menjalani sisa hidup saya dengan baik?” tanya Pedro. Jawapannya: “Hidup akrab dengan Tuhan.”
Hidup kita di dunia ini tidak semestinya diringkaskan hanya dengan angka usia, tetapi juga dapat diringkaskan melalui iman kita kepada Tuhan. Iman itu memungkinkan Allah memakai kita untuk melaksanakan pekerjaan-Nya, dan apa yang dikerjakan-Nya jauh lebih banyak daripada yang dapat kita hitung.
