Sewaktu muda, wartawan Sebastian Junger pernah mengembara ke seluruh Amerika Syarikat dan menulis tentang grafiti (contengan) positif. Suatu hari pada tahun 1980-an, dia memasuki sebuah tandas di Florida Keys dan mendapati dindingnya dipenuhi dengan grafiti yang penuh kebencian. Kebanyakannya ditujukan kepada pendatang dari Cuba. Namun, jelasnya seorang dari Cuba telah menuliskan mesej yang menarik perhatiannya, “Terima kasih Tuhan, kerana ramai orang lagi di negara ini adalah penyayang dan menerima saya pada tahun ’62.” Junger memerhati, “Segala hal yang terburuk tentang Amerika boleh dilihat di dinding tandas itu, dan begitu juga yang terbaik.
Bagaimana kita harus bertindak balas terhadap mesej beracun yang sering kita temui? Kitab Amsal 15 menawarkan nasihat yang baik. Salomo, yang menyusun kebanyakan buku, menyamakan fasal 15 dengan imej yang serupa: “mulut orang bodoh meluahkan kebodohan” (ayat 2), dan “mulut orang durjana meluahkan hal-hal yang jahat” (ayat 28). Namun, bab ini bermula dengan penawar kepada racun sebegitu: “Jawapan yang lemah lembut meredakan murka” (ayat 1). Salomo juga berkata, “Lidah yang menenangkan ialah pokok hayat” (ayat 4). Selalunya, respons yang disertakan kesabaran menjadi kunci kita untuk berhadapan dengan kebencian orang lain: “Hati orang benar mempertimbangkan jawapannya” (ayat 28).
Bagaimana Tuhan dapat menggunakan kata-kata kita apabila kita meminta-Nya untuk membantu kita menimbang kata-kata sebelum mulut, pena, atau papan kekunci kita meluahkan racun dan rasa sakit hati sesama manusia? Seperti yang tertulis dalam Amsal 15, “Alangkah baiknya perkataan yang diucapkan tepat pada waktunya!” (ayat 23).
