Apabila suami Sun mengalami strok, hidupnya berubah secara mendadak. Dia mendapati dirinya perlu menjaga aktiviti harian suaminya dan menghadapi ledakan emosi suaminya. Selama tujuh belas tahun, dia menjaga suaminya dengan setia. Namun apabila suaminya terjatuh dan keadaannya semakin merosot. Beban menjaga suami akhirnya menjadi terlalu berat, dan Sun mengalami kemurungan. “Saya rasa saya telah kehilangan iman,” katanya, “dan saya tidak dapat melihat Tuhan.”

Namun apabila dia mengenang selama bertahun-tahun ini, Sun kini percaya bahawa Tuhan telah melihatnya kerana Dia menyediakan rawatan perubatan dan kejururawatan di rumah secara subsidi untuk mengurus keadaan kronik suaminya, serta menghantar pekerja sosial untuk membantu Sun menangani cabaran emosi sebagai penjaga.

Tuhan mendedahkan diri-Nya sebagai Tuhan yang melihat dalam kisah Hagar. Dalam Kejadian 16, ketika hamba perempuan yang bernama Hagar lari daripada cik puannya (ayat 6) yang menganiayai dia, “malaikat Tuhan” menemuinya “dekat sebuah mata air di padang gurun” (ayat 7). Malaikat itu menggesa Hagar supaya “kembali kepada cik puanmu” (ayat 9) dan memberi jaminan akan berkat Tuhan terhadapnya. Walaupun Hagar dianggap tidak penting dalam budaya masa itu, Tuhan tetap memperhatikan kebajikannya. Dengan penuh kesyukuran, Hagar menyatakan, “Engkaulah Allah yang melihat” (ayat 13).

Tuhan juga melihat kesusahan kita. Kita tidak pernah bersendirian kerana Bapa kita penuh kasih dan mengetahui situasi kita, dan Dia boleh dipercayai. Kita boleh berseru kepada-Nya untuk memohon pertolongan dan Dia akan membangkitkan semangat kita semula.