Pada suatu petang yang cerah, saya melukis di atas lantai simen dengan kapur berwarna bersama sebuah keluarga dari Sudan yang kini tinggal di sebelah rumah saya. Nyanyian terdengar dari rumah sebelah mereka, rupanya ada satu kelompok orang sedang mengadakan ibadah. Ibu muda yang sedang berbual dengan saya itu berasa ingin tahu tentang apa yang sedang berlaku, jadi kami berdua berjalan ke rumah itu dan mereka menjemput kami duduk bersama. Hari itu seorang saudara muda sedang berdiri dalam sebuah kolam untuk pembaptisan, dia berkongsi bahawa kini dosanya diampuni oleh Yesus dan dia menyerahkan seluruh hidupnya untuk mengikut Yesus.
Inilah peluang yang unik bagi kami untuk mendengar kesaksian tentang keselamatan Yesus di halaman rumah sebelah. Kelompok orang itu sedang membentuk sebuah komuniti yang menjadi sebuah gereja di kawasan kejiranan kami.
Yesus sedang membangunkan gereja-Nya di seluruh dunia. Tidak lama sebelum Yesus naik ke syurga, Dia memberitahu para pengikut-Nya bahawa Dia akan mengutus Roh Kudus untuk tinggal dalam diri mereka, dan mereka akan menjadi saksi-Nya “sampai ke hujung bumi” (Kisah Para Rasul 1:8). Yesus membangunkan gereja-Nya dan menguatkan umat-Nya melalui Roh Kudus, agar mereka menyampaikan khutbah dan mengajar kebenaran-Nya. Seterusnya, “Setiap hari Tuhan menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan” (2:47).
Kita boleh mengambil bahagian dalam pembangunan komuniti orang yang percaya kepada Kristus dengan hidup sebagai pengikut Kristus, apabila kita mengamalkan iman kita di tempat tinggal kita, dan berkongsi tentang kebaikan dan pertolongan Yesus dalam hidup kita dengan orang lain. Dia telah menyerahkan nyawa-Nya dan telah dibangkitkan supaya kita diampuni dan memperoleh hidup yang kekal. Dia akan menolong kita untuk belajar bagaimana melayani orang lain di dalam gereja-Nya hari ini.
