Di sebuah jalan di New York City, seorang lelaki tua sedang berjoging, ketika itulah dia ternampak sepasang kasut sukan lama diletakkan berhampiran tanda seorang lelaki gelandangan yang meminta pertolongan. Dia berhenti jogging, dan apabila pelari itu mengetahui bahawa mereka berdua memakai saiz kasut yang sama, dia memberikan kasut (dan stoking!) yang dipakainya kepada lelaki gelandangan itu dan berjalan pulang tanpa kasut. Tetapi sebelum itu, dia menjelaskan, “Saya telah diberkati sepanjang hidup saya. Tuhan sangat baik kepada saya, jadi saya rasa saya juga patut memberkati kamu.”
Seperti lelaki ini menunjukkan kebaikan kepada orang lain kerana Tuhan telah berbuat baik kepadanya, begitu jugalah orang yang percaya kepada Yesus dipanggil untuk “haruslah bersifat… baik budi” (Kolose 3:12). Malah, dalam apa sahaja yang kita lakukan atau katakan, kita harus melakukannya untuk “mewakili Tuhan Yesus” (ayat 17, TSI). Selain kebaikan, kita juga harus menampilkan sifat “belas kasih, …rendah hati, lemah lembut dan sabar” (ayat 12). Buah Roh (Galatia 5:22-23) tumbuh dalam diri kita kerana Roh Kudus tinggal di dalam kita; dan buah ini terbukti apabila kasih Tuhan terhadap kita mengalir kepada orang lain—mengikat semua sifat mulia ini untuk menjadi “penyatu yang sempurna” (Kolose 3:14).
Seperti lelaki yang berjoging itu, semoga kita sentiasa peka mencari peluang untuk berbuat baik—sama ada melalui kata-kata yang mendorong, tindakan yang penuh perhatian, atau bahkan memberi kasut di kaki kita kepada sesiapa yang memerlukan—dan sewaktu kita melakukannya, orang lain pun boleh mengenal Yesus (ayat 17).
* TSI= Terjemahan Sederhana Indonesia
