“Ayah, boleh tak ambilkan air untuk saya?” tanya anak perempuan bongsu saya. “Boleh,” jawab saya, lalu saya memberinya segelas air yang penuh. Dia mengambilnya tanpa berkata apa-apa. Kemudian anak perempuan sulung saya pun meminta perkara yang sama. Dia juga tidak memberi sebarang respons selepas saya memberinya air. Dengan rasa sedikit kecewa, saya terus berkata, “Tak ada siapa pun nak cakap, ‘Terima kasih’? Kenapa susah sangat ya?”
Kekadang, rasa kecewa yang dialami oleh ibu bapa itu membuka ruang untuk Tuhan membentuk sikap hati kita. Serta-merta saya terasa teguran lembut daripada Roh Kudus: Ya, Adam, kenapa susah sangat untuk mengucapkan “Terima kasih”? Saat itu saya tak tahu nak letak muka di mana. Rupanya, kurang bersyukur bukan hanya masalah anak-anak saya; tetapi masalah saya juga.
Saya tidak tahu mengapa ucapan terima kasih boleh jadi begitu sukar, tetapi nampaknya itu sebahagian daripada lumrah manusia. Namun dalam kitab Mazmur, kita melihat teladan untuk membina kesyukuran. Di situ, Daud dan para pemazmur lain kerap memuji Tuhan walaupun mereka melalui pelbagai ujian hidup. Satu frasa tertentu sering mendahului ucapan syukur mereka, iaitu: “Aku akan …”
Dalam Mazmur 9:1, Daud dengan sengaja memilih untuk bersyukur: “Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, dengan sepenuh hatiku; aku akan menceritakan segala keajaiban yang Kaulakukan.” Kita cenderung menganggap rasa syukur itu sekadar perasaan. Tetapi Daud mengingatkan kita bahawa ia juga adalah satu pilihan.
Seperti Daud, apabila kita memilih untuk menanam kebiasaan sentiasa bersyukur, maka secara beransur-ansur kita dapat belajar menyedari dan menghargai kebaikan Tuhan dalam setiap aspek kehidupan.
