Dari katil hospitalnya, wajah Marie Coble menjadi berseri apabila dia melihat pemandu penghantaran yang pernah menyelamatkan nyawanya. Sebelum itu, dia terjatuh di lorong rumah dan kepalanya terhentak sehingga menyebabkan pendarahan otak. Secara kebetulan Raheem Cooper ternampak Marie yang cedera, dia pun terus membantunya sambil menghubungi paramedik. Keluarga Marie menjemput Raheem untuk menziarahinya di hospital, sejak itu Raheem kerap membawa hidangan manis kegemaran Marie agar dia cepat sembuh.
Kisah mereka mengingatkan kita kepada ibarat ‘Seorang Samaria yang baik hati’. Ibarat itu merupakan jawapan Yesus kepada soalan seorang ahli Taurat tentang apa yang harus dilakukannya untuk mewarisi hidup kekal. Lakukanlah “apa yang tercatat dalam Taurat,” kata Yesus (Lukas 10:26), termasuk “mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri” (ayat 27). Bagaimanapun, ahli Taurat itu terus bertanya, “Siapakah sesama manusia itu?” (ayat 29).
Yesus menjawab dengan berkata, seorang lelaki telah diserang penyamun dan ditinggalkan setengah mati, malah diabaikan oleh dua orang—seorang imam dan seorang suku bangsa Lewi—yang melaluinya begitu sahaja. “Akan tetapi, seorang bangsa Samaria … hatinya dipenuhi dengan belas kasihan,” “membalut luka itu … untuk terus merawatnya” (ayat 33-34). Apabila melihat lelaki yang cedera itu memerlukan pertolongan, orang Samaria itu dengan segera mengambil inisiatif untuk membantu tanpa prasangka—tanpa mengambil kira perbezaan bangsa dan agama demi menolong seseorang yang tidak boleh dibiarkan sahaja.
Oleh itu, Yesus bertanya, “Antara tiga orang itu, siapakah pada pandangan kamu menjadi sesama manusia kepada orang yang dirompak oleh penyamun?” “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya,” jawab ahli Tuarat itu. Yesus berkata, “Pergi dan berbuatlah sedemikian” (AYAT 36-37). Dalam Kristus, kita juga dapat menghulurkan belas kasihan untuk menolong orang yang menderita dan bukannya berlalu begitu sahaja. Inilah satu pengajaran bagi kita untuk berkongsi kasih Yesus.
