Semasa menjalankan misi penginjilan di negara Ecuador, kami melakukan kunjungan rumah ke rumah. Suatu hari, semasa kami berjalan, kami ternampak seorang lelaki sedang bekerja mencabut bawang di kebunnya. Kami pun mendekatinya. Lalu dengan bertutur bahasa pasar Sepanyol, saya berkata bahawa kami ingin bercakap sebentar dengannya tentang Alkitab. Dia berhenti seketika untuk mendengar apabila kami berkongsi kesaksian kami dengannya. Kemudian, seorang daripada kami membacakan Alkitab dengan suara lantang dalam bahasa Inggeris manakala lelaki itu turut membaca serentak dalam bahasa Sepanyol daripada buku kecil yang kami berikan kepadanya. Alangkah istimewanya saat itu bagi semua orang yang mendengar berita baik dibacakan di lereng pergunungan Andes itu! Setelah itu, kami berbual-bual dengan dia dan keluarganya yang bekerja berdekatan, lalu berdoa untuk mereka sebelum bertolak ke rumah seterusnya.
Ketika kami berjalan di lereng gunung sambil membaca Alkitab dan bercakap tentang Kristus dengan orang ramai, saya teringat kepada Yesus dan para murid-Nya yang pernah berjalan melintasi bukit-bukau dan lembah Israel pada waktu pelayanan-Nya di bumi.
Yesaya 52:7 berkata, “Alangkah indahnya di atas gunung-gunung melihat kaki mereka yang membawa berita baik, yang mengkhabarkan kedamaian, yang membawa khabar kesukaan, yang mengkhabarkan penyelamatan.” Nabi itu merujuk kepada waktu bahawa umat Tuhan akan pulang ke tanah air mereka selepas bertahun-tahun dalam pembuangan, tetapi ayat ini masih relevan buat kita hari ini, bila-bila sahaja kita berkongsi berita baik tentang Yesus kepada orang lain.
Peluang kita mungkin tidak berlaku di pergunungan Andes yang gemilang, tetapi di mana-mana sahaja Tuhan menempatkan kita, Roh Kudus boleh menolong kita untuk menyampaikan mesej penyelamatan dengan mereka yang dipertemukan Tuhan dalam perjalanan hidup kita.
