Seperti ramai orang yang bergelut dengan ketagihan pornografi, Russell terdedah kepadanya sejak usia muda. Nafsu untuk menontonnya sangat kuat dan ketagihan itu meracuni hatinya. “Hidupku betul-betul dikuasai oleh perkara itu,” tulis Russell, “sampai tahap ia seperti penyakit kanser yang telah meresap ke dalam jiwa ragaku.” Dengan kasih kurnia Tuhan, dia akhirnya dibebaskan daripada kuasa pornografi bersama dengan ketagihan lain—apabila dia menerima keselamatan Yesus dan diubah secara menyeluruh. “Aku berterima kasih kepada Yesus Kristus atas segala-galanya, … [Dialah] yang telah melepaskan aku daripada semua ketagihan itu,” kata Russell.
Yeremia menyampaikan mesej daripada Tuhan kepada bangsa Israel bahawa suatu hari nanti Dia akan “meletakkan hukum-(Nya) dalam fikiran mereka dan menuliskannya dalam hati mereka” (31:33). Melalui “perjanjian baru” itu, yang telah digenapi oleh Kristus (Ibrani 8:6-13), semua orang yang percaya kepada Tuhan boleh diubah oleh kasih kurnia-Nya. Kini, “Roh-Nya . . . hidup dalam diri [kita] (Roma 8:11), dan hukum moral Tuhan tertulis dalam hati kita. Bagi Russell, dan bagi semua yang percaya, kuasa Roh Kudus memberi kita apa yang diperlukan untuk berpaling daripada tingkah laku yang memudaratkan, tidak menyenangkan hati Tuhan dan yang bertujuan untuk memusnahkan kita.
Perubahan tidak selalunya berlaku secara serta-merta atau mudah. Bagaimanapun, marilah kita ingat bahawa apabila kita berhadapan dengan dosa yang sukar dielakkan—malah yang menyebabkan ketagihan—Tuhan boleh mengubah hati kita (Yeremia 31:33). Dia berfirman bahawa bangsa Israel “akan mengenal Aku” (ayat 34), dan kita juga boleh mengenali kuasa-Nya yang mengubah hati.