Para saintis telah mengkaji tahap kelasakan 16 buah masyarakat di seluruh dunia, termasuklah Sungai Yukon dan kawasan pedalaman di Australia. Mereka menganalisis rekod-rekod arkeologi yang berusia ribuan tahun untuk menjejaki kesan daripada kebuluran, perang, dan perubahan cuaca. Satu faktor yang paling ketara atau penting ialah berapa kerap sesuatu perkara buruk itu berlaku. Orang mungkin menyangka bahawa kesusahan akan melemahkan sesuatu masyarakat, tetapi para penyelidik mendapatkan hasil kajian yang sebaliknya. Mereka mendapati bahawa masyarakat yang sering menghadapi kesusahan menjadi bertambah lasak, dan boleh pulih dengan cepat bila masa adanya cabaran baru. Nampaknya, tekanan boleh menjadikan sesebuah masyarakat atau seseorang lebih tahan lasak.
Nabi Habakuk memahami sifat tahan lasak seperti ini. Semasa dia memikirkan kemusnahan Yehuda yang bakal berlaku, dia melukiskan gambaran yang suram: “ladang tidak menghasilkan bahan makanan,” “domba ghaib… tidak ada lembu,” dan tanah tandus (3:17). Biarpun semua jaminan duniawi akan dilucutkan, nabi itu mengisytiharkan, “Aku akan bersuka ria kerana TUHAN dan bergembira kerana Allah yang menyelamatkan aku” (ayat 18). Sukacitanya tidak bergantung pada keadaan dan keseronokan duniawi, tetapi berdasarkan sifat Tuhan dan penyelamatan-Nya yang tidak berubah. Pada musim yang paling suram, nabi itu memilih sukacita dan menjadi lebih tahan lasak.
Seperti Habakuk dan masyarakat yang tahan lasak itu, daya ketahanan rohani kita bertumbuh melalui kesusahan berulang kali. Apabila menghadapi masa-masa sukar dalam hidup, marilah kita berpegang teguh pada harapan kita kepada Tuhan dan ingat bahawa Dia sentiasa bersama kita. Cabaran-cabaran boleh dijadikan sebagai cara untuk kita lebih gembira dan lebih kuat beriman kepada Tuhan.
