Seorang wanita kelihatan sangat gelisah apabila duduk di kerusi doktor gigi. Beban keluarga sangat mengganggunya, dan ia jelas kelihatan. Doktor giginya menyedari keresahannya dan bertanya tentang hal itu. Cerita wanita itu mendorongnya untuk bertanya, “Bolehkah saya berdoa untuk kamu?” Apabila jururawat pergigian masuk ke dalam bilik, dia juga mendoakan wanita tersebut. Setelah dua kali didoakan dan selesai menjalani satu rawatan gigi, wanita itu keluar dari klinik dengan perasaan bahawa dia benar-benar dijaga dan diperhatikan.
Berdoa untuk orang lain ialah salah satu cara terbaik untuk menunjukkan bahawa kita mengambil berat kerana kita membuat permohonan daripada pemberi sumber teragung yang kita kenal—Bapa Syurgawi kita—untuk terlibat secara aktif dalam kehidupan orang lain. Dalam 1 Samuel 12, nabi Samuel berhadapan dengan sekumpulan orang yang sangat gelisah (ayat 19). Orang Israel telah tersilap kerana meminta seorang raja untuk memerintah mereka, dan kini mereka takut akan akibatnya. Jadi nabi Samuel berkata kepada mereka, “jangan takut” (ayat 20) dan meyakinkan mereka tentang kebaikan Tuhan seperti yang dilihat dalam kata-kata ini: “janganlah aku sekali-kali berdosa terhadap TUHAN dengan berhenti mendoakan kamu” (ayat 23).
Kita juga mempunyai keistimewaan dan panggilan untuk mendoakan orang lain. Kadangkala secara senyap dan lantang pada waktu lain, kita menghormati Tuhan apabila kita memohon pertolongan-Nya bagi pihak orang lain yang memerlukan.
Bagaimanakah anda boleh memprihatikan orang lain melalui doa pada saat ini? Jika orang tahu bahawa anda berdoa untuk mereka, apakah perasaan mereka?
Terima kasih, ya Tuhan, kerana Engkau memberitahu kami bahawa “doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat” (Yakobus 5:16). Tolonglah aku menjadi orang sedemikian.
Meskipun Samuel memiliki karakter yang unggul selaku hakim dan nabi, anak-anaknya “menerima rasuah serta memutarbalikkan keadilan” (1 Samuel 8:3). Ini mendorong “semua tua-tua Israel” untuk meminta seorang raja (ayat 4). Samuel tidak bersetuju dengan permintaan itu dan berdoa memohon petunjuk Tuhan. Dia berfirman kepada Samuel, “Mereka bukannya menolak engkau tetapi mereka menolak Aku kerana tidak mahu Aku bertakhta atas mereka” (ayat 7).
Lima ratus tahun sebelum zaman Samuel, Tuhan telah berfirman kepada umat Israel, “[Apabila] engkau berkata, ‘Aku hendak mengangkat seorang raja atasku seperti segala bangsa yang ada di sekelilingku,’ maka pastikanlah engkau mengangkat atasmu seorang raja yang dipilih TUHAN, Allahmu” (Ulangan 17:14-15). Tetapi ini tidak bermakna bahawa Tuhan membenarkan mereka mengangkat seorang raja.
Samuel kemudian menjelaskan pelbagai masalah yang akan muncul di bawah pemerintahan seorang raja manusia (1 Samuel 8:9-18), tetapi mereka “tidak mahu mendengar” (ayat 19). Meskipun begitu, Samuel tetap setia melayani Tuhan dengan membimbing Israel dan berdoa untuk mereka (12:19). Kita juga memuliakan Tuhan apabila kita setia mendoakan keperluan orang lain.
Tim Gustafson