Apabila Peter Turchi, seorang guru penulisan, melihat sebuah peta, dia akan mencari kisah pengembaraan yang terkandung di dalamnya. Katanya, “Ketika minta untuk membaca sebuah peta, saya seolah-olah berkata, ‘ceritakanlah sebuah kisah kepada saya.’ ” Jadi, saya terus menggunakan idea ini semasa saya membuat persiapan untuk mengajar Sekolah Minggu tentang “Iman Ahli Ilmu Bintang” semasa Krismas. Semasa saya meneliti peta, saya mendapati bahawa para ahli ilmu bintang itu telah mengembara kira-kira 1448 km—mungkin selama beberapa bulan—untuk mencari Kristus yang masih bayi. Tetapi akhirnya mereka tidak menemukan seorang bayi di palungan, sebaliknya seorang anak kecil yang tinggal bersama ibu bapa-Nya di sebuah rumah. Apakah pula reaksi mereka setelah melalui perjalanan yang begitu lama? “Mereka sujud menyembah Anak itu” (Matius 2:11).
Perjalanan mereka mengajak para pelajar dan saya untuk merancang dengan niat untuk mencari Kristus dengan sepenuh hati. Seperti yang dikatakan dalam Alkitab, apabila para ahli ilmu bintang akhirnya tiba di Yerusalem, dengan segera mereka bertanya: “Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya” (ayat 2).
Jarak tidak menghalang penyembahan mereka, begitu juga bahaya atau kelewatan. Permintaan Herodes yang berniat untuk membunuh adalah ironis: “Pergilah dan carilah Anak itu sedaya upaya” (ayat 8). Tiada orang yang mencari Yesus dengan lebih bersungguh-sungguh daripada para ahli ilmu bintang.
Kita juga boleh mengikuti contoh para ahli ilmu bintang yang tekun mencari Kristus. Kemudian, apabila kita menyembah-Nya, kita boleh yakin bahawa Bapa Syurgawi akan berbicara dalam hati kita, memimpin kita keluar dari jalan lama dan menuju ke jalan baru untuk berjalan bersama-Nya.
