S eorang lelaki tua mengambil masa yang lama untuk meneliti beg sekolah kanak-kanak di dalam kedai. Dia berkata kepada saya, “Saya mahu beli beg ini untuk hari jadi cucu perempuan saya. Saya harap dia suka hadiah saya.” Di kaunter bayaran, dia memeluk beg galas berwarna merah jambu dengan gambar watak kartun. Dia kelihatan teruja.

Kemudian di sebuah restoran, saya melihat lelaki tua itu lagi bersama seorang kanak-kanak perempuan dan ibu bapanya. Apabila kanak-kanak itu membuka hadiahnya, dia berkata, “Saya tak suka watak ini! Saya benci warna merah jambu!” Ibu bapanya memaksanya meminta maaf, tetapi dia tetap bersungut. Hati saya sangat sedih dan bersimpati terhadap datuknya.

Kejadian ini membuat saya teringat respons saya sendiri terhadap pemberian Tuhan. Kadangkala saya mengeluh kerana menginginkan sesuatu yang lain, gagal untuk melihat keajaiban di depan saya—bahawa Tuhan sendiri dengan penuh kasih telah memberi sesuatu bagi saya. Orang Israel berkelakuan sama. Tuhan telah menepati janji-Nya kepada mereka: “Aku akan menghujani kamu dengan roti dari langit” (Keluaran 16:4). Malah Dia dengan setia memenuhi keperluan umat-Nya di padang gurun: “Apabila embun turun di perkhemahan itu pada malam hari, turun jugalah manna itu” (Bilangan 11:9).

Tetapi orang Israel tidak bersyukur, sebaliknya mereka merungut pula tentang pemberian Tuhan tersebut yang penuh kasih: “Tidak ada apa-apa selain manna yang kita lihat di hadapan mata” (ayat 6). Mereka bukannya merendahkan diri meminta makanan lain daripada Tuhan, tetapi mereka meratap atas pemberian-Nya.

Saya masih ingat wajah yang terluka di mata datuk pada hari itu. Ia membuat saya berfikir bagaimana perasaan Bapa Syurgawi kita apabila kita merungut. Marilah kita bersyukur atas pemberian-Nya kepada kita.