Jason dan Pierre telah bekerja memasang papan dinding rumah bersama selama sedekad. Mereka ialah kawan baik, tetapi kedua-duanya jenis yang tidak banyak bercakap. Semasa bekerja, mereka jarang bercakap walau sepatah. Namun mereka sangat mengenal satu sama lain dan ini bukan masalah. Mereka berdua boleh bergantung hanya pada anggukan kepala atau pandangan mata untuk berkomunikasi. Isyarat kecil membawa makna yang besar.
Mazmur 32 menggambarkan tahap keakraban ini antara Tuhan dan pemazmur. Satu terjemahan menyatakan ayat 8 begini: “Aku akan membimbingmu dengan mata-Ku”. Tuhan bukan memerhati dari jauh; Dia ialah Bapa yang penuh kasih, bekerja bersama umat-Nya. Walaupun mazmur ini bermula dengan pengakuan dosa (ayat 1-5), fokusnya bukan pada hukuman, tetapi pada kasih Tuhan yang membimbing umat-Nya kembali ke jalan yang benar (ayat 6-7).
Pilihan lain ialah dengan menjadi seperti kuda atau keldai yang “perlu dipasangkan tali serta kekang supaya menurut kata” (ayat 9). Gambaran ini menunjukkan kedegilan dan kejahilan manusia ketika berusaha untuk memahami jalan Tuhan. Sebagai orang percaya dalam Yesus, kita dipanggil untuk memupuk keakraban dengan Tuhan supaya kita selaras dengan isyarat lembut-Nya. Salah satu caranya ialah membaca Alkitab. Ini membantu kita “hidup dalam Roh” (Galatia 5:25), supaya kita mengasihi apa yang dikasihi oleh Tuhan. Kemudian kita dapat “bersukacita dalam TUHAN dan bergembira” (Mazmur 32:11).
Bagaimanakah kehidupan rohani anda mungkin menjadi hanya sekadar ritual atau tradisi? Bagaimanakah anda membina keakraban dengan Tuhan semasa membaca dan merenungkan firman Tuhan?
Ya Bapa, terima kasih kerana Engkau bukan sahaja mengenalku dengan mendalam, tetapi Engkau juga mengajakku bekerjasama dengan-Mu ketika Engkau melaksana dan mengembangkan tujuan serta pekerjaan-Mu di dunia ini.
Selama kira-kira setahun selepas dosa penzinaan Daud, dia gagal bertaubat sehingga nabi Natan menegurnya (2 Samuel 11–12). Kebanyakan cendekiawan percaya bahawa Daud menulis Mazmur 32 setelah mengakui dosanya. Dalam mazmur pengakuan dosa ini, dia menceritakan beban rasa bersalah yang tidak diakui (ayat 3-4) dan kegembiraan yang menyusul apabila dia mendapat pengampunan Tuhan (ayat 1-2, 5). Mazmur ini juga menitikberatkan kepentingan mematuhi ketetapan Tuhan (ayat 8-9). Penulis Mazmur 119 yang tidak disebut namanya, memberikan hikmat yang serupa bagi kehidupan yang memuliakan Tuhan: “Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya? Dengan berhati-hati menurut firman-Mu. Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu; janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu” (ayat 9-11). Kita juga menjadi akrab dengan Tuhan apabila kita meneladani tekad pemazmur: “Aku akan menikmati ketetapan-Mu, aku tidak akan melupakan firman-Mu” (ayat 16).
Sim Kay Tee (Penulis Tamu)